Hayatilah : Pesanan Terakhir Rasulullah SAW;
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak
mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas
tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini
dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini
sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain
tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan
menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala
amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang
melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa
untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah
supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka
(isteri) juga mempunyai hak ke atas kamu (suami). Sekiranya mereka
menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak
diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka
kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.
Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan
orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan
zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku
ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan
Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah
ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah
saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal
saleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu
hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu
kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak
ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir
agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh
dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.
Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang
lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang
terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku
sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
p/s : Al Fatihah
kepada Rasulullah S.a.w dan berselawatlah kepada baginda. Mudah-mudahan,
nur petunjuk baginda sampai ke hati kita dengan keizinan Allah
hendakNya..
semoga kita menjadi sebenar benarnya umat Baginda .bukan hanya pada nama .